GERIK-Insiden roadkill melibatkan seekor Harimau Malaya betina di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, Perak pada 9 November 2024 merupakan satu tragedi kepada usaha pemeliharaan hidupan liar.
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad berkata, kejadian roadkill telah menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini di mana pada tahun 2023 dan 2024 sahaja, sebanyak enam ekor
Harimau Malaya telah menjadi mangsa roadkill.
“Ini menunjukkan bahawa habitat Harimau Malaya telah terganggu hingga menyebabkan Harimau Malaya terpaksa
keluar daripada habitat semula jadinya.“Lebih menyedihkan apabila beberapa bahagian Harimau Malaya tersebut termasuk
taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki telah dicuri,”katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Beliau berkata, tindakan ini adalah satu
kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
“Akta 716 telah dipinda pada tahun 2022 antaranya bagi meningkatkan kadar hukuman dan penalti yang melibatkan kesalahan-kesalahan berkaitan hidupan liar.
“Dalam hubungan ini, mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti
Harimau Malaya, atau mana-mana bahagian atau terbitannya seperti gigi, tulang, kulit,
lemak atau darah, apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun,”katanya.
Beliau berkata, dengan bilangan populasi yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor, NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus buat selama-lamanya.
“Ini adalah selaras dengan pelaksanaan 9 tindakan strategik luar biasa (extraordinary
actions) bagi konservasi Harimau Malaya yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada
21 Jun 2021.
“Komitmen tinggi Kerajaan turut dizahirkan antaranya melalui penubuhan Pasukan
Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF); pengukuhan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) oleh Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK); dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM),”katanya.
Menurutnya, sejak awal penubuhannya pada tahun 2020, bilangan Renjer Komuniti telah meningkat, dengan 1,000 orang pada 2023, 2,000 orang pada 2024 dan ditingkatkan lagi kepada 2,500 Renjer Komuniti pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.
“Kerajaan juga mengukuhkan usaha dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau
Malaya melalui Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological
Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation – EFT) kepada negeri-negeri yang bermula pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. Di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan ini telah ditingkatkan kepada RM150 juta pada 2023, RM200 juta pada tahun ini dan RM250 juta pada tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri juga digalakkan untuk mengukuhkan pemuliharaan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS).
” Di samping itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menubuhkan Unit Wildlife Cybercrime bagi menjalankan pemantauan dan pengumpulan maklumat aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian (online),”katanya.
NRES menggesa masyarakat umum untuk menghubungi pejabat Jabatan
PERHILITAN terdekat atau talian hotline Jabatan PERHILITAN 1-800-88-515 atau
talian kecemasan umum PDRM sekiranya mempunyai maklumat mengenai insiden
roadkill Harimau Malaya tersebut atau melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya.
RENTAS7/ FOTO: Planet Tiger








Leave a Reply