PAMM Kedah Junjung Titah Sultan Pahang, Tegas Pertahan Kedaulatan Negara

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr. Mustaffa Idrus menjunjung kasih dan menyambut baik titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru Kerajaan Persekutuan memperkukuh kawalan sempadan negara serta memperketat kemasukan warga asing.

Menurut beliau, titah baginda hadir tepat pada masanya ketika negara berdepan pelbagai cabaran berkaitan pencerobohan sempadan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan pembukaan penempatan haram yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, soal keselamatan sempadan bukan sekadar isu penguatkuasaan, sebaliknya berkait rapat dengan maruah, kedaulatan dan kelangsungan sesebuah negara berdaulat.

Justeru, setiap bentuk pencerobohan perlu ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi.

” PAMM Kedah menyokong penuh titah baginda supaya penempatan haram warga asing di seluruh negara dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.,”katanya.

Tambah beliau, kewujudan penempatan haram bukan sahaja menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah, malah berpotensi mengancam keseimbangan demografi serta memberi tekanan kepada kemudahan awam yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat tempatan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang mempunyai undang-undang jelas berkaitan imigresen dan pemilikan tanah.

“Oleh itu, tiada mana-mana pihak boleh bertindak sesuka hati sehingga mencabar kedaulatan negara.

“Dalam masa yang sama, PAMM Kedah turut menyokong titah baginda yang mengingatkan agar pembangunan tidak mengorbankan alam sekitar.

“Pembangunan yang mapan mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang,”katanya.

Menurut beliau, pemeliharaan hutan, sungai, kawasan tadahan air dan khazanah alam bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, malah menjadi amanah seluruh rakyat bagi memastikan warisan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, titah Sultan Pahang membuktikan Institusi Raja Melayu sentiasa menjadi payung kepada rakyat dengan memberikan pandangan yang berpaksikan kepentingan agama, bangsa, negara serta kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Sehubungan itu, PAMM Kedah menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan serta membanteras sindiket yang membawa masuk pendatang asing secara haram,”katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat supaya bersama-sama mempertahankan kedaulatan tanah air dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti pencerobohan, penerokaan haram atau penempatan yang menyalahi undang-undang.

“PAMM menegaskan bahawa kami PAMM Kedah akan terus berdiri teguh menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu serta menyokong segala usaha mempertahankan kedaulatan negara, memelihara tanah air dan memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan,”katanya

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.