Laporan: Mat Ki
KUALA LUMPUR -Adakah Kemenangan BN-PN pada 1 Ogos, yang masuk bulan Kemerdekaan; satu kebetulan semata-mata?
Bagi yang merenung nasib tanah air ini, jawapannya tidak. Sebaliknya, ia lahir daripada asas kesefahaman dan kerjasama antara kedua-dua pihak yang sedar masa semakin suntuk menyelamatkan negara.
Walaupun usaha ini masih belum dimuktamadkan sebagai sebuah gabungan rasmi, ia memperlihatkan kesan yang besar dalam landskap politik apabila berjaya menewaskan PH-DAP di Negeri Sembilan dan terdahulu di Johor.
Tanpa disedari, kemenangan ini hadir menjelang 31 Ogos, tarikh bersejarah yang menyaksikan Tanah Melayu menjulang kemerdekaan.
Sama ada dianggap kebetulan atau tidak, kejayaan ini membawa satu isyarat bahawa hanya dengan penyatuan orang Melayu, kestabilan negara dapat dicapai.
Negeri Sembilan menyambut kemerdekaan awal selepas menolak pentadbiran PH-DAP yang gagal menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
Kemenangan BN-PN dengan izin Allah, seolahnya sebagai satu mesej daripada Yang Maha Kuasa bahawa masa penyatuan orang-orang Melayu yang telah lama bersengketa telah tiba.
Setelah rakyat melihat sendiri isu-isu sepanjang pentadbiran PH-DAP sepanjang tiga tahun lebih ini, negara berisiko berdepan cabaran yang lebih besar sekiranya gabungan itu kembali diberi mandat pada PRU-16.
Persoalan yang lebih besar ialah, mampukah identiti Melayu terus dipertahankan di bumi warisan nenek moyang? Atau adakah kita bakal menyaksikan nasib yang pernah menimpa beberapa wilayah dan kerajaan Melayu seperti Champa, Patani, Singapura serta kawasan-kawasan Melayu yang suatu ketika dahulu terbentang hingga ke Segenting Kra, yang akhirnya kehilangan nama, kuasa dan identitinya?
Bagi ramai pihak, kebimbangan ini bukan lagi sekadar retorik politik. Rakyat telah melihat bagaimana kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu semakin kerap dicuit dan dicabar oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Secara terbuka, seorang pemimpin veteran DAP dengan berani menyebut bahawa Tanah Melayu telah berakhir. Kenyataan yang dilihat sengaja menghangatkan sentimen ini seolah-olah mencabar kedudukan Orang Melayu sebagai tuan rumah di bumi ini. Naratif sedemikian dibina bagi menanam normalisasi dalam pemikiran generasi muda agar mempercayai negara ini tidak mempunyai pemilik asal, sebaliknya menjadi milik semua tanpa mengambil kira latar sejarah pembentukannya dan akar umbi kaum dan bangsa asal negara ini.
Tanah Melayu tetaplah Tanah Melayu sampai bila-bila, sebagai sebuah wilayah yang mempunyai sejarah, warisan dan akar peradaban tersendiri.
Nama Malaysia itu sendiri berakar tunjang berasal daripada istilah “Malay” yang merujuk kepada Melayu, digabungkan dengan akhiran “-sia” yang berasal daripada istilah Yunani “-sia” (daripada Asia), yang digunakan dalam penamaan sesuatu wilayah atau kawasan.
Maka, Malaysia membawa pengertian sebuah wilayah yang berakar daripada dunia Melayu, yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah negara moden melalui perjalanan sejarah dengan penyatuan pelbagai negeri dan masyarakat.
Justeru, kerjasama BN-PN ini perlu diperkukuhkan dan diteruskan sehingga PRU-16 demi menyelamatkan negara ini daripada mimpi ngeri yang semakin lama semakin mendekati.
RENTAS7








Leave a Reply