ALOR SETAR-Timbalan Warisan Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menyatakan keyakinan penuh bahawa Parti Warisan berpotensi besar memenangi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, susulan perubahan sentimen rakyat Sabah yang mahukan pembaharuan menyeluruh dalam pentadbiran negeri.
Menurut beliau, meskipun Warisan tidak berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, perkembangan semasa menunjukkan ramai dalam kalangan rakyat Sabah kini menyesali keputusan terdahulu dan mula melihat semula peranan Warisan sebagai pilihan terbaik.
“Kita melihat kesedaran politik rakyat Sabah semakin matang. Mereka mahukan perubahan besar dan kepimpinan yang benar-benar membela negeri serta rakyat, bukan sekadar kepentingan kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dato’ Dr Mustaffa berkata, gelombang penyesalan dan kekecewaan rakyat terhadap corak pentadbiran sedia ada akan menjadi faktor penting yang menterjemahkan sokongan kepada Warisan dalam pilihan raya akan datang.
Mengulas situasi politik semasa, beliau menegaskan bahawa walaupun beliau kini bukan lagi ahli UMNO, semangat perjuangan demi bangsa, agama dan negara harus terus dipelihara tanpa mengira perbezaan parti.
Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan sokongan moral kepada YB Akmal, agar terus berjuang secara konsisten dan berprinsip demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Dalam pada itu, Dato’ Dr Mustaffa mengkritik susunan pelantikan menerajui beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah serta pelantikan menteri, yang menurutnya tidak mencerminkan gandingan terbaik untuk memajukan negeri.
Beliau mendakwa terdapat kecenderungan pelantikan yang berat sebelah dan bersifat kepentingan peribadi, bukannya berasaskan keupayaan, integriti dan keperluan sebenar pembangunan Sabah.
“Apabila pelantikan tidak dibuat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, maka kesannya akan dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Sabah agar bangkit membuat pilihan yang tepat dengan memberikan sokongan dan kemenangan kepada Parti Warisan di Parlimen dan DUN, demi menyelamatkan dan membina semula Sabah ke arah masa depan yang lebih adil dan sejahtera.
RENTAS7








Leave a Reply