Warisan Kedah beri sokongan penuh kepada PH

Dari kiri Ir Zamri, Datuk Mustaffa, Dr Sofee, Dato'Fadhil dan Dr Matheyalagan

PADANG SERAI – Parti Warisan Negeri Kedah memberikan sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kemenangan gabungan itu di Parlimen Padang Serai.

Pengerusi Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Fadhil Hanafi berkata, Warisan memberikan sokongan kepada calon PH iaitu Dr. Sofee Razak .

“Warisan telah mengarahkan seluruh jentera dan pengundi Parti Warisan untuk memberikan undi kepada calon PH bagi membina Kerajaan Perpaduan,”katanya dalam sidang media bersama calon PH petang ini.

Beliau berkata, Warisan telah menjelaskan kepada jentera dan pengundi supaya memberikan fokus memenangkan calon PH walaupun nama calon Warisan terdapat dalam kertas undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Fadhil berkata, semangat ditunjukkan Warisan sewajarnya dicontohi semua parti lain kerana semangat seperti itulah yang dimahukan.

Beliau berkata, bantuan diberikan Warisan kepada PH sebagai satu hadiah kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami harap Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan hadiah ini dan amat pasti beliau cukup gembira apabila PH dan Warisan berada dibawah satu bumbung sekarang ini.

“Sebelum inipun PH dan Warisan sudah berada dibawah naungan yang sama. Jadi sokongan di Semenanjung ini bukanlah perkara pelik,”katanya.

Turut serta, Ketua Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah Datuk Mustaffa Idrus, ADUN Suka Menanti, Ir Zamri Yusuf, Dr. Sofee Razak serta Dr Matheyalagan Narayanasamy.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.