PATANI -Salah satu kumpulan pejuang Patani, BRN menggesa masyarakat awam sentiasa berhati-hati ketika berada di tiga wilayah khususnya lokasi yang berpotensi meragut nyawa .
BRN dalam satu kenyataan menyatakan, Sekretariat Rundingan Damai BRN memandang serius perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan peningkatan tindakan ketenteraan kawasan konflik di Patani.
Menurutnya, keadaan ini mencerminkan bahawa konflik masih berterusan dan belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian yang mampan.
“BRN menyeru masyarakat awam agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dengan mengelakkan berada berdekatan lokasi atau sasaran yang berpotensi menjadi kawasan operasi bersenjata.
“Dan juga menggesa masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam pasukan keselamatan Kerajaan Thai atau mengambil sebarang peranan yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong operasi keselamatan kerajaan, demi mengurangkan risiko terhadap keselamatan diri,”kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, dua rakyat Malaysia terkena letupan bom dalam kejadian di Tak Bai Narathiwat pada 29 Jun lalu yang menyaksikan seorang parah dan seorang lagi cedera.
Kata kenyataan, Sekretariat Rundingan Damai BRN berpandangan bahawa peningkatan ketegangan dan tindakan kekerasan di Kawasan Konflik Patani sekarang ini adalah merupakan salah satu impak dari kurang kemajuan dalam proses rundingan damai.
Tegas BRN, perjuangan Rakyat Patani yang dipimpin oleh BRN telah beroperasi di medan konflik Patani dalam era baharu sejak tahun 2004 sampai sekarang telah mamasuki tahun ke-23.
“Operasi Angkatan Bersenjata BRN mempunyai sasaran yang jelas, iaitu angkatan bersenjata Thai dan Kumpulan-kumpulan yang dipersenjatai oleh kerajaan Thai, serta projek-projek kapitalis yang menjejaskan kehidupan rakyat Patani, merusakkan alam sekitar, dan menghakis nilai-nilai identiti masyarakat Melayu Islam Patani. BRN sangat menghormati dan mematuhi undang-undang perang antarabangsa/International Humanitarian Law (IHL).
“Justru, BRN menegaskan bahawa rundingan damai merupakan alternatif yang tepat untuk membawa kepada penyelesaian konflik secara bermaruah, adil dan berkekalan.
“Penyelesaian konflik di Patani melalui Solusi Politik adalah satu pendekatan yang berupaya menamatkan konflik bangsa Patani dengan Kerajaan Thai demi mewujudkan perdamaian dan keamanan yang hakiki, bermartabat dan bermaruah serta berkekalan,”katanya.
Sehubungan itu, BRN berkata, pihaknya amat menghargai peranan Kerajaan Malaysia sebagai fasilitator proses rundingan damai dan penglibatan komuniti antarabangsa yang telah menunjukkan sikap profesional yang aktif dalam usaha mencari penyelesaian konflik yang berkepanjangan di Patani.
“BRN berharap rundingan damai ini dapat diperkukuhkan dengan sokongan padu dari seluruh komuniti Patani demi mencapai kemajuan dalam usaha untuk menamatkan konflik ini,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply