Warga tempatan turut jadi dalang serang anggota PGA

PADANG BESAR– Dua kumpulan yang bertindak menyerang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Perlis didalangi warga asing dan tempatan.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian.

Menurutnya, mereka telah diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kumpulan penyeludup berlaku pada 24 November 2020, pukul 3 pagi di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis.

“Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Kpl Baharuddin Bin Ramli telah terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup. Manakala rakan setugas mangsa, Kpl. Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau dan seluruh warga KDN mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut.

Rentas7.com Foto: Royal Malaysia Police

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.