Ke mana pasir dipindahkan?

Fadhil dua kanan menyampaikan sumbangan kepada penduduk manakala Mustaffa dari kiri

BALING – Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah mempersoal ke manakah pasir sungai yang dikorek bagi pembesaran sungai di Kampung Iboi dipindahkan.

Pengerusi Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Fadhil Hanafi dalam kenyataan bersama Pengerusi Biro Perhubungan Awam Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pasir menimbusi sungai berkenaan ialah pasir yang dibawa oleh arus aliran puing dan banjir lumpur Gunung Inas 4 Julai lalu.

“Ke mana lokasi pasir ini dipindahkan dan siapakan yang mengetuai pengambilan pasir ini.

“Oleh sebab itu kita nak tahu ke manakah pasir ini dipindahkan atau dijual ke mana?,”katanya hari ini.

Kenyataan bersama itu berkata, sekiranya benar pasir itu dijual, kerajaan negeri perlu mengagihkan keuntungan pasir berkenaan kepada penduduk terjejas.

Sementara itu, Mustaffa dan Fadhil mendakwa pemilik tanah tidak dibayar sewa sekalipun tanah mereka menjadi lokasi timbunan pasir.

“Maka kita mohon supaya pihak berkenaan melihat isu-isu ini supaya penduduk yang berhak menerima imbalan selepas kawasan tanah mereka menjadi lokasi timbunan pasir yang dikorek dari sungai,”katanya.

Mustaffa dua dari kanan dan Fadhil dua dari kiri meninjau lokasi banjir di Kampung Iboi hari ini

Terdahulu, kedua-dua pemimpin bersama ahli Jawatankuasa Warisan Negeri Kedah itu meninjau keadaan sekitar Kampung Iboi.

Mereka turut mengadakan pertemuan bersama penduduk bagi mendapatkan perkembangan isu-isu semasa sedang dihadapi.

Pada pertemuan itu, seramai 30 penduduk menerima sumbangan barangan keperluan harian dan sekampit beras daripada Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah.

Tragedi aliran puing dan banjir lumpur Gunung Inas mengorbankan tiga nyawa penduduk serta menjelaskan banyak kerosakan harta benda dan infrastruktur.

Lebih 800 penduduk sekitar Kupang terjejas dengan tragedi tersebut.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.