Dadah bernilai RM 1.5 juta di Kuala Perlis dirampas

Pegawai dan anggota APMM menunjukkan dadah bernilai RM1.5 juta yang berjaya dirampas

KUALA PERLIS– Dadah bernilai RM1.5 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis pada 25 Disember lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, dadah seberat 300 kilogram itu cuba diseludup masuk ke negara ini dirampas melalui Op Khas.

“Rampasan ini berikutan serbuan ke atas sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di perairan Negeri Perlis pada jarak lebih kurang 0.4 batu nautika daripada barat pantai Sungai Padang, Perlis sekitar jam 3.00 pagi, hari berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata, sebelum rampasan dibuat, APMM mengesan kehadiran bot fiber yang dikemudi seorang lelaki memasuki perairan Kuala Perlis sekitar jam 3.00 pagi.

“Bot peronda Maritim Malaysia yang bersiap sedia melakukan serbuan dan tangkapan telah bergerak ke lokasi kejadian menuju ke arah bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran bot pihak berkuasa, bot fiber tersebut telah menukar haluan dan memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau, namun bot berjaya dipintas oleh Bot Peronda Maritim,”katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan bertindak nekad terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke dalam paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, anggota penguatkuasa Bot Peronda menjumpai 11 bungkusan guni yang mencurigakan di dalam petak ikan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan ketulan-ketulan berbentuk kotak yang diikat dan dibalut kemas dengan plastik putih dan disyaki ganja mampat yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran,”katanya.

Beliau berkata, setiap bungkusan ganja mampat itu seberat satu kilogram.

“Keseluruhan ganja mampat yang dirampas pada kali ini seberat 300 kilogram dengan anggaran nilai sekitar RM 1.5 juta.

“Manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM 1.53 juta,”katanya.

Menurutnya, semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini merupakan rampasan ganja yang kedua terbesar oleh Zon Maritim Kuala Perlis selepas rampasan pertama pada 15 November 2020 lalu yang juga membabitkan rampasan sebanyak 300 kilogram ketulan ganja.

“Kejayaan operasi kali ini adalah menerusi intipan dan risikan yang dilakukan selama beberapa minggu lalu, dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di perairan negara.

“Penyeludupan ganja ini dipercayai untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia merangkumi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,”katanya.

Rentas7.com