YDPA perkenan Muhyiddin sebagai ‘caretaker’

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR– Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Md. Yasin dan seluruh Jemaah Menteri berkuat-kuasa serta merta, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indra Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, susulan peletakan jawatan berkenaan, Seri Paduka telah berkenan supaya Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40 (2) ( a) dan 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusi Jemaah Menteri.

“Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac khususnya dalam memerangi wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Mohd Zuki Ali,
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Haji Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi di Istana Negara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.