Tiga nelayan Thailand ditahan

Bot tunda berkenaan telah didapati melanggar syarat

PULAU PINANG– Sebuah bot pukat tunda kelas c yang langgar syarat ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Betong malam tadi.

PPM dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas maklumat orang awam, bot ronda milik Polis Marin Batu Uban di atur gerak ke kawasan perairan Pulau Betong, Balik Pulau dan berjaya menahan sebuah bot pukat tunda yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan lebih kurang 6 batu nautika dari Pulau Betong.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot yang diusahakan oleh tiga warganegara Thailand tersebut telah melakukan kesalahan iaitu menangkap ikan dibawah 15 batu nautika, tidak mengaktifkan alat pengesanan vessel (AIS) dan menggunakan peralatan radio tanpa kebenaran yang sah.

“Bot bersama kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 150 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut,”kata kenyataan malam ini.

Kenyataan berkata, kes seterusnya diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.