Laporan Wartawan RENTAS7 Patani: Fatimoh Ja’ae
PATANI -Tanpa mengemukakan sebarang bukti, petunjuk mahupun hasil siasatan rasmi, Ketua Turus Tentera Darat Thailand, Jeneral Chaiphruek Duangpraphat, dilihat tergesa-gesa apabila terus mengaitkan kumpulan pejuang dengan insiden yang mengorbankan lima anggota Renjer Thailand termasuk mencederakan beberapa orang awam di Tanjung Mas, Narathiwat pada 22 Julai lalu.
Lebih membimbangkan, beliau yang juga Setiausaha Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai mengheret Malaysia secara tersirat apabila memberi amaran bahawa Thailand akan memburu “negara yang memberikan tempat berlindung” kepada pihak yang didakwa terbabit.
Kenyataan sedemikian bukan sahaja mencetuskan pelbagai tafsiran, malah berpotensi menjejaskan rundingan damai antara Thailand dengan kumpulan pejuang, BRN serta mencemarkan peranan Malaysia sebagai fasilitator Rundingan Damai yang dijangka diteruskan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Kami akan memburu kamu di setiap kampung dan setiap hutan. Kami juga akan memburu mereka yang melindungi kamu, malah negara yang memberikan kamu tempat berlindung. Ketahuilah, kami akan mengejar kamu hingga ke hujung dunia. Sama ada ketika kamu makan, tidur atau dalam perjalanan, sentiasalah berwaspada. Kini giliran kamu pula diburu,” katanya yang dilaorkan media arus perdana Thailand pada Khamis.
Sehingga kini, tiada sebarang bukti dikemukakan kepada umum yang mengesahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu. Dalam masa yang sama, pelbagai spekulasi terus beredar di media sosial, termasuk dakwaan yang mengaitkan insiden tersebut dengan kerajaan sendiri dan kartel dadah.
Turut menjadi perhatian ialah kronologi kejadian yang menimbulkan pelbagai persoalan masyarakat tempatan.
Kumpulan penyerang memandu sehingga ke wilayah Sisaket sebelum membakar kenderaan dan meninggalkannya di kawasan hutan. Sebelumnya mereka melancarkan serangan bertalu-talu dengan raifal termasuk membaling bom.
Perjalanan sejauh itu turut menimbulkan persoalan kerana laluan berkenaan dipenuhi pos kawalan tentera dan polis. Di kebanyakan kawasan, sekatan keselamatan diwujudkan pada jarak kira-kira setiap 10 kilometer. Ada juga sekatan yang dibuat pada jarak lebih dekat ekoran tiga wilayah milik Patani diletakkan zon panas oleh pihak keselamatan Thailand.
Dengan keadaan kawalan yang begitu ketat, timbul persoalan bagaimana sebuah kumpulan yang bersenjata lengkap dengan raifal serta berpakaian seragam hitam mampu melepasi begitu banyak pos pemeriksaan tanpa dikesan atau ditahan sehingga berjaya meninggalkan kawasan operasi dengan selamat.
Dalam mana-mana negara yang menjunjung prinsip keadilan, sebarang tuduhan sewajarnya disandarkan kepada bukti dan hasil siasatan, bukannya andaian atau kenyataan yang dibuat sebelum proses penyiasatan dimuktamadkan. Justeru, kenyataan berbahaya seperti itu sangat menjurus kepada tindakan untuk melihat pihak lain sebagai pesalah atau kambing hitam.
Nada ancaman dikeluarkan olehnya jeneral askar darat Siam itu berisiko mengeruhkan lagi suasana yang sedia rapuh serta menjejaskan keyakinan semua pihak terhadap proses damai.
Pemerhati turut berpendapat kenyataan tersebut boleh ditafsirkan sebagai usaha mempengaruhi persepsi awam terhadap kumpulan-kumpulan pejuang Patani ketika beberapa kumpulan lain turut menuntut ruang untuk dilibatkan dalam proses rundingan.
Chaiphruek dilihat ingin mengheret kelompok-kelompok pejuang Patani sebagai pengganas dengan memberikan gambaran ada kelompok tidak berpuas hati lalu melancarkan serangan berdarah.
Apa yang berlaku di Tanjung Mas sangat berbeza dengan pendekatan kelompok pejuang Patani yang biasanya akan bertanggungjawab dengan operasi ketenteraan mereka. Bahkan misi dilancarkan kelompok pejuang Patani kebanyakan berbentuk gerila sesuai dengan gelaran kerajaan kepada mereka iaitu gerila Patani dan bukannya serangan mengejut seperti baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, gambaran bahawa gerakan pejuang Patani bertanggungjawab sebelum siasatan selesai berpotensi dijadikan alasan untuk memperhebat operasi ketenteraan di wilayah Patani, Yala dan Narathiwat.
Sejarah membuktikan bahawa konflik di Patani tidak pernah dapat diselesaikan melalui pendekatan ketenteraan semata-mata.
Wilayah itu dimasukkan ke dalam pentadbiran Siam menerusi Perjanjian Anglo-Siam 1909 yang dimeterai antara British dan Siam tanpa penyertaan rakyat Patani sendiri. Selepas lebih satu abad, pendekatan berasaskan keselamatan masih belum berjaya menamatkan konflik.
Jika Bangkok benar-benar komited terhadap keamanan, penyelesaian bukanlah melalui kenyataan berunsur ancaman atau tuduhan terhadap mana-mana pihak tanpa bukti yang didedahkan kepada umum. Keamanan yang berkekalan hanya mampu dicapai apabila kebenaran dihormati, keadilan ditegakkan dan proses rundingan diberikan ruang untuk berlangsung tanpa diganggu retorik yang berisiko memburukkan lagi konflik.
Hakikatnya, semua masyarakat Patani tahu elaun khas dari Bangkok akan turun kepada anggota-anggota askar kerajaan sebaik tercetus insiden berdarah. Siapa sebenarnya bermain api?
RENTAS








Leave a Reply