SUNGAI PETANI-Tindakan Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mahu membuka sempadan darat dengan Thailand bukan sahaja tergesa-gesa bahkan langsung tidak menguntungkan ekonomi Malaysia.
Pengerusi Persatuan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pembukaan sempadan ketika rakyat sendiri masih diancam COVID-19 adalah tidak wajar.
Menurutnya, keputusan dibuat Ismail Sabri melambangkan Perdana Menteri dari kompenan BN itu tidak arif akan selok belok geopolitik serantau.
“Sebelum COVID-19 pun ekonomi kita di sempadan telah tewas kepada Thailand. Ia disebabkan faktor orang Malaysia memilih Thailand untuk membeli belah dan melancong berbanding di negara sendiri.
“Tetapi orang Thailand pula tidak seperti rakyat kita. Mereka lebih cerdik.
Justeru itu, PAMM yakin pembukaan dalam masa terdekat hanya menguntungkan Thailand dan merugikan Malaysia,”katanya.
Mustaffa turut menyoal janji kerajaan untuk menaikkan pelancongan domestik.
“Sebelum ini kononnya mahu naikkan pelancongan domestik dan mahu naikkan ekonomi rakyat tempatan.
“Tetapi kini tak sampai dua tahun, lain pula yang dibuat. Janganlah kera di hutan disusui, anak sendiri mati kebuluran,”katanya.
Semalam media melaporkan, Ismail Sabri memberikan bayangan sempadan darat negara diantara Thailand dan Brunei dengan sempadan darat negara akan dibuka menerusi Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).
Beliau turut bercadang menambah laluan VTL di membabitkan Indonesia dan Singapura.
Langkah itu dibuat Ismail bagi Keluarga Malaysia dapat pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti.
Dalam pada itu Mustaffa berkata, dalam sudut kesihatan, Ismail Sabri wajar mengkaji lebih dalam jika mahu sempadan dengan Thailand dibuka.
“Saya tiada masalah jika pembukaan itu melibatkan negara yang kita tahu sistem kawalan Kesihatannya ketat.
“Tetapi jika dengan Thailand kita kurang yakin termasuklah Indonesia. Adakah Ismail Sabri tahu kesesakan beratur untuk cop pasport di sebelah Thailand sudah cukup untuk sebarkan COVID-19? Jika beliau tidak tahu khabarkan kepadanya,”katanya.
Menurutnya, Thailand selama ini tidak mempunyai sistem yang teratur terhadap pengurusan sempadan.
“Sebelum COVID-19 lagi, pelancong khususnya dari Malaysia yang perlu bersesak dan beratur panjang untuk cop.
“Jika sistem ini Thailand tidak dapat tangani, lupakan dahulu untuk buka sempadan darat dengan mereka.
“Bahkan, PAMM mahu menyoal Ismail Sabri apakah beliau tidak mengikuti peningkatan kes COVID-19 di Thailand? Termasuk di selatan.
“Thailand tidak menunjukkan kejayaan membendung COVID-19 dalam masa terdekat ini, maka demi keselamatan rakyat Malaysia, kita mahu pembukaan sempadan ditangguh dahulu,”katanya.
Beliau berkata, pembukaan sempadan boleh dibuat sekiranya Thailand sudah memperbaiki kelemahan di sempadan serta kes COVID-19 Malaysia dan Thailand dalam keadaan terkawal.
RENTAS7
Leave a Reply