ALOR SETAR- Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan komuniti Rohingya di Malaysia yang dilihat mempunyai jaringan sosial dan organisasi tersendiri dalam mengurus hal ehwal komuniti mereka.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, berdasarkan maklumat dan pemerhatian yang diterima, komuniti Rohingya dipercayai mempunyai rangkaian hubungan yang menghubungkan mereka di Malaysia dengan masyarakat Rohingya di luar negara.
Menurut beliau, kewujudan rangkaian tersebut perlu diberi perhatian supaya sebarang perkembangan berkaitan kemasukan, penempatan dan aktiviti komuniti berkenaan dapat dipantau secara teratur oleh pihak berkuasa.
“Dikatakan terdapat struktur komuniti yang tersusun, termasuk badan perwakilan, organisasi di peringkat negeri, ketua masyarakat setempat serta badan yang menguruskan aspek agama, pendidikan dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara struktur yang sering dikaitkan dengan komuniti Rohingya termasuk organisasi perwakilan masyarakat Rohingya di Malaysia, badan pendidikan komuniti, badan ulama yang mengurus hal ehwal agama serta rangkaian perniagaan yang menyokong aktiviti ekonomi sesama mereka.
Katanya, terdapat juga dakwaan mengenai kewujudan kumpulan keselamatan atau gerakan tertentu yang mempunyai kaitan dengan perjuangan politik Rohingya di Myanmar dan perkara itu perlu diselidiki bagi memastikan ia tidak memberi kesan terhadap keselamatan negara.
“PAMM tidak menafikan penderitaan yang dialami masyarakat Rohingya akibat konflik dan krisis kemanusiaan.
” Namun, Malaysia juga perlu memastikan kepentingan rakyat, keselamatan serta kedaulatan negara terus menjadi keutamaan,” katanya.
Dato’ Dr Mustaffa berkata, kerajaan perlu melaksanakan pemantauan dan pendaftaran yang lebih menyeluruh terhadap komuniti pelarian serta warga asing yang berada di Malaysia.
Beliau menegaskan, sebarang bentuk penempatan atau perkembangan komuniti asing perlu diurus berdasarkan undang-undang dan dasar negara bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
RENTAS7








Leave a Reply