Ibu bapa hadkan yuran, PASTI terjejas bayar elaun guru

KUALA KETIL– Pengurusan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terbeban untuk menjelaskan elaun atau gaji para guru dan kakitangan mereka.

Keadaan itu disebabkan ada sebilangan besar ibu-bapa menghadkan pembayaran yuran bagi anak-anak mereka yang tidak dapat belajar secara formal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, umum tahu PASTI ialah institusi pendidikan di bawah parti politik yang tiada sumber pendapatan sendiri apatah lagi ditaja kerajaan atau mana-mana pihak.

Menurutnya, PASTI beroperasi hasil yuran yang dibayar para waris termasuk sedikit sumbangan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pada fasa satu dan dua PKP pada bulan Mac lalu, sebahagian waris masih lagi membayar secara penuh atau separuh yuran pengajian anak mereka.

“Tapi apabila masuk PKP fasa ketiga telah menjadi pertikaian para waris adakah mereka masih perlu membayar yuran sedangkan anak mereka tidak dapat belajar secara formal,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Mansor Zakaria

Jelas Mansor, di dalam DUN Kuala Ketil sahaja mempunyai seramai 45 orang guru PASTI tidak termasuk jumlah guru di daerah Baling, di Kedah dan seluruh semenanjung.

“Di bawah saya sendiri mempunyai 17 orang guru PASTI merangkumi tiga buah PASTI yang saya kendalikan.

“Jadi saya melihat bebanan menjelaskan elaun-elaun guru amat tinggi tanpa mendapat sebahagian besar yuran para waris,”katanya yang juga penaung PASTI Raudhatul Jannah, An Naim dan Al Ikhwan.

Murid-murid PASTI

Tambahnya, situasi sedang dihadapi PASTI turut dirasai kebanyakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang bagi pandangannya perlu diberikan perhatian wajar oleh kerajaan.

Sehubungan itu katanya, pihak lebih berautoriti diharap dapat mengemukakan masalah sedang dihadapi kepada kerajaan.

“Pengurusan PASTI di peringkat negeri atau pusat khasnya dirayu untuk membuat rundingan dengan kerajaan.

“Ia supaya ada satu inisiatif atau peruntukan kepada pra sekolah swasta untuk dibantu oleh kerajaan sama ada secara “one off” atau sebagainya sekaligus meringankan bebanan ditangung pengurusan,”katanya.

Tambah Mansor, guru-guru PASTI adalah antara pembina akhlak dan jati diri insan di negara ini dan sewajarnya nasib mereka diberikan perhatian.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.