PAS ucap tahniah kecekapan PDRM gagalkan Mossad, Minta Keselamatan ditingkatkan

Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR -PAS merakamkan penghargaan di atas kejayaan PDRM menangkap 18 ejen perisikan Mossad selepas mereka terlibat dengan penculikan dua rakyat Palestin berhampiran Jalan Yap Kwan Seng Kuala Lumpur pada 29 September lalu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahya berkata, kecekapan PDRM menangkap 18 individu terbabit di lima lokasi berasingan layak mendapat pujian yang sekaligus mematahkan usaha Mossad mendapatkan maklumat daripada HAMAS.

“Walau bagaimanapun, satu tanda aras yang serius mengenai insiden ini adalah mengenai situasi negara yang menjadi sarang ejen perisikan Mossad berleluasa.

“Kejadian pembunuhan Dr Fadi Mohamed al-Batsh pada April 2018 sewajarnya menjadi iktibar besar kepada pihak keselamatan mengenai ancaman yang dihadapi negara ketika ini,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembunuh Dr Fadi yang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa HAMAS mengakui mereka memasuki Malaysia melalui passport palsu Serbia dan Montenegro dan keluar melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Thailand.

“Tidak mustahil masih ramai ejen perisikan Mossad yang menjalankan aktiviti risikan dan intipan dalam negara ini.

“Sewajarnya isu sebegini dipandang serius oleh semua pihak. Segala kelemahan yang terdapat di pintu masuk sempadan negara perlu diatasi segera.

“Pelbagai dasar telah pun dirangka sebelum ini sehinggalah kepada pemansuhan AKSEM di Parlimen, namun isu jenayah rentas sempadan membabitkan negara masih tidak berpenyelesaian,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.