PAMM setuju lepasan universiti dilantik GLC, gugurkan orang politik

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan tidak melantik ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan ( GLC) sebaliknya memberikan ruang khususnya kepada lepasan universiti dalam dan luar Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pelantikan orang politik khususnya mereka yang diluar bidang bisnes sesuatu GLC tidak akan membantu berikan banyak manfaat.

“Syarikat terpaksa membayar elaun atau gaji mahal-mahal kepada ahli politik yang dilantik sedangkan mereka tidak mempunyai kelayakan sepatutnya.

“PAMM bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam (ABIM), Muhammad Fazril Salleh supaya ahli politik tidak dilantik dalam GLC seperti mana dilaporkan media,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, amalan memberikan jawatan dalam GLC kepada ahli politik perlu dihentikan serta merta kerana ia dikhuatiri menjadi bahan ‘suap’ untuk mendiamkan mana-mana ahli politik.

“Jika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar memperjuangkan hak rakyat dan negara maka inilah masanya.

“Gugurkan semua ahli politik tidak berkelayakan pada tempoh beliau memegang tampuk Perdana Menteri,”katanya.

Mustaffa berkata, mereka yang dipilih menganggotai GLC sewajarnya diberikan kepada lepasan universiti berkelayakan yang sedang mencari peluang pekerjaan.

“Sudahlah ahli politik sudah dapat gaji termasuk tambahan elaun lain. Dibayarkan pula mereka elaun GLC. Ini menjadikan ahli politik sudah cukup lemak.

“Sepatutnya kita bantu lepasan universiti. Beri mereka pengalaman awal dan jika layak tawarkan pekerjaan tetap,”katanya.

RENTAS7

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.