Sindiket pelaburan florex perdaya ramai mangsa tumpas

Mohd Kamarudin Md Din (tengah) dalam sidang media hari ini

KUALA LUMPUR– Sindiket pelaburan florex yang menipu orang ramai ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam satu operasi pada 5 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, YDH CP Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, satu operasi telah dijalankan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang bagi mengesan dan menahan ahli sindiket penipuan pelaburan ini.

“Hasilnya seramai 24 orang individu yang terdiri daripada dua lelaki Melayu, 14 lelaki Cina, enam perempuan Cina, satu lelaki warga Thailand dan satu perempuan warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 57 tahun telah berjaya ditahan.

“Turut dirampas enam buah kereta mewah, barang kemas, beg berjenama, jam tangan berjenama dan beberapa barangan lain yang berkait dengan kegiatan penipuan ini,”katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, seramai 629 orang mangsa dengan kerugian dianggarkan RM 30 juta telah ditipu sindiket berkenaan yang mendakwa menjalankan kegiatan pelaburan melalui Syarikat Veonco Limited.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, polis menahan dua warga Nigeria yang menjadi dalang dalam kegiatan penipuan perkhidmatan sebagai sugar mummy/daddy dan penipuan tawaran pekerjaan sebagai sugar baby atau “anak ikan”

“Menggunakan laman Instagram https://www.instagram.com/vivi.an6939, sindiket ini membuat tawaran perkhidmatan seks dengan menawarkan pembayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 semalam bagi ahli yang berdaftar.

“Nasihat dari pihak polis, jangan tamak dan jangan sesekali terpedaya dengan tawaran wang melalui internet.

“Gunakanlah portal semakmule (https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/) yang telah dibangunkan oleh pihak JSJK untuk membuat semakan sebelum membuat pemindahan wang ke dalam mana-mana akaun,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.