Myanmar, Hong Kong uji anak buah Kim Pan-gon

Dua perlawanan ujian menanti Kim Pan-gon dalam menyiapkan Harimau Malaysia harungi kempen kelayakan kali ini

KUALA LUMPUR– Dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Hong Kong dan Myanmar menjadi medan ujian skuad kebangsaan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E pada Jun ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 27 Mei ini sebelum menentang Hong Kong pada 1 Jun depan.

“Dua pasukan ini dilihat sebagai lawan yang bersesuaian untuk skuad Harimau Malaya mempersiapkan diri menjelang tiga perlawanan sebenar Kumpulan E bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun, dalam misi Malaysia memburu slot untuk layak ke Piala Asia 2023.

“Untuk makluman, skuad Harimau Malaya akan bertemu Myanmar, ranking ke-152 dunia memandangkan pasukan berkenaan akan berada di Kuala Lumpur untuk kem latihan pusat sebelum mereka terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan bagi saingan Kumpulan F membabitkan Kyrgyzstan, Tajikistan, Myanmar dan Singapura,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran media disiarkan di laman Facebook FAM malam ini.

Pan-gon berkata, Hong Kong berkedudukan ranking ke-147 dunia akan singgah ke Kuala Lumpur untuk bertemu Malaysia sebelum terbang ke Kolkata, India bagi saingan Kumpulan D membabitkan India, Hong Kong, Afghanistan dan Kemboja.

“Skuad Harimau Malaya akan mula berkumpul bagi kem latihan pusat menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 ini pada 19 Mei ini iaitu sejurus berakhirnya Hari Perlawanan 9 saingan Liga Super 2022 pada 18 Mei.

“Tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk perlawanan pemanas badan menentang Myanmar dan Hong Kong ini diharap dapat memberi peluang dan ruang buat kami barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya meningkatkan lagi tahap permainan, keserasian serta kombinasi para pemain sebelum kita berdepan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.

“Dengan kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, saya juga berharap kehadiran penyokong setia Harimau Malaya akan memberikan suntikan semangat untuk pasukan kita tampil dengan persembahan lebih bertenaga dan seterusnya dapat memberikan keputusan positif serta kejayaan yang kita semua harapkan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.