Korban usia di waktu sekolah jaga bapa sakit

Aziz menerima sumbangan makanan daripada rombongan Perkeba semalam

BALING – Dua anak sanggup berkorban masa menjaga bapa mereka meskipun masih lagi bersekolah.

Mohd Afiq Aiman Aziz, 16, dan adiknya Siti Munirah Aziz,12, bertanggungjawab menjaga bapa mereka Aziz Awang Ahmad, 53, yang mengalami strok di Kampung Sira Bawah Mukim Pulai.

Aziz Awang, berkata, dia mengalami strok sejak tujuh bulan lalu dan tidak mampu menguruskan diri dengan baik.

Menurutnya, keadaan yang sakit menyekatnya daripada mencari rezeki untuk menyara anak-anak.

Justeru Aziz memohon bantuan kewangan dari agensi kerajaan yang berwajib bagi meringankan bebanan sedang dihadapinya.

“Saya memohon bantuan kewangan dari mana-mana agensi untuk meneruskan hidup serta membantu anak-anak dalam urusan persekolahan,” katanya yang telah berpisah dengan isteri.

Aziz diziarahi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba) di rumahnya semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, keluarga berkenaan perlu dibantu memandangkan keadaannya yang agak uzur sekarang.

“Insha Allah pihak kita akan akan cuba menghubungi agensi kerajaan yang berkaitan bagi membantu untuk mendapat sebarang bentuk bantuan kepada beliau” katanya.

Turut bersama menziarahi keluarga ini, Penolong Amil Zakat Masjid Khariah Teluk Sira , Ustaz Azham Hasim dan Setiausaha Kehormat Perkeba, Mohd Nazry Md Bidin.

Terdahulu Nazry mewakili Tuan Hj Mohd Noor Mohd Amin, Penaung Perkeba dan NGO, Sahabat Anak Baling menyampaikan sumbangan berupa hamper makanan kepada keluarga itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.