Shafie Apdal ibarat Jokowi, Warisan tanding lima Parlimen di Kedah

Mustaffa Idrus dan Shafie Apdal

SUNGAI PETANI – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal calon Perdana Menteri paling sesuai untuk diangkat.

Pengerusi Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Presiden Parti Warisan serta Ahli Parlimen Semporna itu mempunyai kelayakan untuk memimpin Malaysia.

Menurutnya, Shafie Apdal ibarat Presiden Indonesia Joko Widodo atau dikenali Jokowi yang mampu mengeluarkan Malaysia keluar dari kemelut ekonomi dan politik.

“Beliau mempunyai ketokohan, pengalaman luar, kecekapan mengurus serta bebas rasuah. Tidak ragu-ragu untuk saya katakan bahawa Datuk Seri Shafie Apdal pemimpin yang kita tunggu-tunggu selama ini.

“Saya menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum supaya dapat memilih Parti Warisan Malaysia di kawasan yang kami tandingi,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, negara tidak akan dapat diurus tadbir dengan baik sekiranya pemimpin lama di kitar semula.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Zahidi Hamidi semuanya pemimpin lama yang sudah patut berehat dan direhatkan.

“Mereka tidak ubah seperti pemimpin kitar semula dan pernah datang dari satu parti yang sama iaitu UMNO-BN. Rakyat perlu celik dan bangkit untuk memilih pemimpin lebih cemerlang,”katanya.

 

Mustaffa berkata, memberikan laluan kepada UMNO-BN, PKR dan sekutunya naik akan menjahanamkan lagi suasana politik negara yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

“Selama ini pemimpin UMNO -BN telah menjarah wang rakyat . Ada yang telah ditangkap dan masih ada yang bebas.

“PKR dan sekutunya iaitu Amanah dan DAP pula telah menzalimi rakyat ketika 22 bulan memerintah. Mereka berani mengguris hati umat Islam dengan kenyataan -kenyataan jelik dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Pemimpin-pemimpin ini adalah liabiliti kepada rakyat dan negara dan rakyat wajib menolak mereka.

“Jika pemimpin daripada parti lain pula rakyat boleh fikir sejauh mana kemampuan mereka mentadbir,”katanya.

Beliau berkata, di Kedah Warisan akan menandingi lima Parlimen dan mereka mengharapkan rakyat berani melakukan pembaharuan.

“Warisan muktamad akan bertanding lima kerusi Parlimen di Kedah iaitu Sungai Petani, Pokok Sena, Padang Serai, Merbok dan Alor Setar,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.