Senjata Oto Melara perhebat kawalan perairan Langkawi

Anggota APMM sedang menggunakan senjata Oto Melara dalam latihan berkenaan

LANGKAWI– Kawalan di perairan Langkawi diperketatkan dengan kawalan 18 Bot Penggalang 11 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis.

Kesemua bot ini dilengkapi dengan senjata canggih yang diberikan nama Oto Melara.

Bagi memastikan perairan Langkawi terus tidak mudah diceroboh, Bot Penggalang baru-baru ini telah melakukan ujian penembakan senjata Oto Melara dengan peluru berdiameter 12.7 milimeter (mm).

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, ujian itu dilakukan bagi menguji tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan senjata Oto Melara.

Menurutnya, latihan itu juga bagi menguji tahap kemahiran kru dalam pengendalian manual dan automatik, penyelenggaraan, serta perintah dan kawalan.

“Dengan adanya ujian menembak senjata utama ini, Maritim Malaysia menerusi MNKP mengharapkan tahap keupayaan senjata utama dan kru kapal sentiasa dalam keadaan terbaik khususnya dalam pelaksanaan Op Benteng Laut yang sedang giat dijalankan,”katanya.

Latihan itu diketuai Pegawai Eksesais, Komander Maritim Mohd Faizal Ahmad bersama kru Bot Penggalang 11.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.