“Kami mahu Melayukan semua sekolah kebangsaan”

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) negeri Kedah Kedah bersetuju dengan saranan pengerusi penaja parti itu, Datuk Dr Ibrahim Ali supaya semua sekolah kebangsaan ditukar kepada nama sekolah Melayu.

Pengerusinya, Datuk Mustafa Idrus berkata, PUTRA Kedah menyokong sepenuhnya kenyataan disebut Datuk Dr Ibrahim Ali pada 29 Ogos lalu.

Menurutnya, seperti mana laporan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961, negara ini hanya patut mempunyai sekolah satu aliran sahaja.

“Jika kerajaan masih berlembik untuk membenarkan sekolah vernakular bertapak dalam negara ini, PUTRA juga mahu semua sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan ditukar kepada nama sekolah Melayu.

“Semua universiti awam mempunyai nama Malaysia bagi kita wajar ditukar kepada nama Universiti Melayu,”katanya hari ini.

Beliau berkata, jika kaum minoriti mahu memertabatkan bahasa ibunda mereka, orang Melayu juga akan memastikan bahasa ibunda mereka tidak diganggu.

“Kami akan pastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan. Ini bahasa ibunda kami, bahasa asal penduduk Tanah Melayu,”katanya.

Beliau berkata, tuntutan kaum minoriti tidak wajar dilayan memandangkan kedatangan mereka di negara lain tidak diterima.

“Paling mudah kita lihat Thailand, adakah di sana kita lihat kaum Cina atau India diterima di sana?

“Jawapannya tidak kerana Thailand amat mementingkan kaum mereka sendiri. Malah orang Melayu Patani turut dipaksa berasimilasi dengan budaya Thai walaupun selatan Thailand milik orang Melayu.

“Tetapi di Malaysia mengapa kaum majoriti terpaksa ikut kaum minoriti? Sampaikah kita terpaksa mengalah dalam perkara penting terutamanya pendidikan. Bagi PUTRA ini satu kesilapan besar,”katanya.

Mustafa berkata, bagi memperbetulkan kesilapan ini, PUTRA akan menghapuskan semua sekolah vernacular sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke 15.

Pada 25 Ogos media melaporkan kerajaan akan memajukan dan membina 10 SJKC baru dan memindahkan enam yang lain ke tempat lebih besar.

Sin Chew Daily melaporkan, keputusan itu mendapat pujian Kumpulan pendidik Dong Zong.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.