Lemas, termasuk lima mati syahid

KUALA LUMPUR-Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mendoakan kesejahteraan buat mangsa lemas, Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif.

Beliau mendoakan dengan harapan Allahyarham Mohd Firdaus termasuk dalam ketentuan syahid akhirat.

Menurutnya, Rasulullah telah menggariskan golongan manusia yang mati syahid di sisi ALLAH.

“Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:⁣ (maksud) “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”⁣katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli yang mengikuti perkembangan mangsa melalui media berkata, ketabahan dan kesabaran ditunjukkan ibu arwah menjadi contoh kepada semua.

⁣”Buat Hajah Fauziah Nawi dan keluarga, kesabaran dan ketabahan anda semua adalah contoh buat kami.

“Kami juga mendoakan anda sekeluarga supaya terus kuat menghadapi dugaan kehilangan insan yang tersayang. Kita yakin, banyak hikmah-Nya atas setiap musibah yang diberikan oleh-Nya. ⁣

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada almarhum Mohd Firdaus. Semoga rohnya dicucuri rahmat, mendapat syahid akhirat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,”katanya.

Mohd Firdaus atau dikenali sebagai Pitt Hanif dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Jelai Lipis Pahang pada Sabtu lalu dan mayatnya ditemukan pada jam 4.25 petang pada keesokan hari.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.