Kluster Telaga muncul di Kedah

ALOR SETAR– Kluster baru iaitu Kluster Telaga dikesan di Kedah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Negeri ini mencatat penambahan satu kes positif COVID-19 di Mukim Naga dalam daerah Kubang Pasu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

“KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos 2020 (kes ke-9284),”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua kes berkenaan melibatkan petugas kesihatan di hospital tersebut.

“Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan.

“Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif COVID-19,”katanya.

Beliau berkata, sehingga 30 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

“Daripada jumlah itu, 2 kes dikesan positif COVID-19 dan 372 individu adalah negatif.

“Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan.

“Perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa. Punca jangkitan masih dalam siasatan namun besar kemungkinan ianya disyaki berpunca dari kalangan komuniti,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.