PUTRA yakin dapat mandat rakyat

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Parti-parti baru dijangka mampu memberikan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum (PRU)-15 sekaligus mendapat mandat rakyat.

Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Mustaffa Idrus berkata, hal ini kerana rakyat sudah dapat menilai corak pemerintahan tiga kompenan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“BN telah memerintah lama dan kemudian tumbang pada PRU-14 menunjukkan rakyat sudah menolak mereka.

“PH pula gagal memerintah dengan baik sebelum tumbang sendiri setelah hanya 22 bulan. Kini rakyat sedang menilai PN. Ada yang suka dan ada yang mahukan perubahan dari kerajaan hari ini,”katanya hari ini.

Beliau berkata, penilaian terhadap tiga kompenan utama itu boleh memberikan kelebihan kepada parti-parti baru.

“Perkara ini tidak mustahil berlaku. Rakyat Malaysia pada zaman ini lebih terbuka.

“Medan media sosial membuatkan rakyat terutamanya atas pagar dan anak muda menilai kerajaan manakah terbaik. Jika bagi mereka belum ada yang baik, mungkin parti barulah yang mahu dipilih,”katanya.

Untuk itu katanya, PUTRA sedia menyahut cabaran demokrasi dengan meletakkan calon bersih dan sifar kes salah guna kausa di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Bagi kami sendiri, PUTRA yakin mampu diberikan mandat oleh rakyat.

“Apa yang kami buat ketika ini teruskan bekerja untuk rakyat dan menentang segala korupsi yang berlaku di negara ini,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.