Edar topeng muka percuma dalam keadaan mencurigakan

Gambar hiasan

SUNGAI PETANI– Tindakan dua lelaki mengedar topeng muka dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bukit Selambau di sini mengundang kebimbangan penduduk.

Penduduk dikenali sebagai Zul,50, berkata, kejadian itu berlaku pada pagi semalam.

“Dalam pukul 11 pagi macam tu, dua lelaki tidak dikenali datang ke kedai sahabat kita iaitu Halim.

“Di kedai tu depa bagi mask dan paksa-paksa suruh orang pakai. Halim yang berasa curiga tak pakai mask tu,”katanya.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan akhirnya beredar apabila rakannya itu tetap bertegas untuk tidak memakai topeng muka yang diberikan.

Zul yang juga peniaga berkata, susulan kejadian itu penduduk mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang tindakan dua lelaki itu mempunyai unsur jenayah.

“Jadi kita pun dah bagitau kepada rakan-rakan lain di Bukit Selambau supaya berhati-hati.

“Rakan-rakan kita kena berhati-hati, jika ada orang tak kenal bagi mask macam tu jangan duk ambil. Mungkin depa nak buat jenayah,”katanya.

Tambah Zul, beberapa hari sebelum ini sudah berlaku kes jenayah di kawasan itu membabitkan kes pecah masuk kedai salon dan sebuah pasar raya.

“Bila dah ada jenayah berlaku buatkan kita lagi bimbang. Apatah lagi tiba-tiba ada yang mai bagi mask secara percuma dan paksa-paksa orang ambil,”katanya.

Sejak malam tadi, beberapa rakaman suara yang tular di kumpulan WhatsApp mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil topeng muka diedar percuma oleh individu tidak dikenali demi keselamatan diri.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.