13 langkah segera atasi COVID-19 meruncing di Kedah

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Sebanyak 13 langkah segera akan dilaksanakan kerajaan negeri Kedah bagi menyelesaikan kes positif COVID-19 yang semakin meruncing di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 13 langkah itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Kedah pada petang tadi.

Menurutnya, langkah pertama ialah memohon kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu kawasan tapak bina di Daerah Pendang.

Beliau berkata, kawalan dan operasi vaksinasi khas ke atas Bukit Malut dan Pulau Tuba Langkawi bersesuaian dengan keadaan lokasi dan penduduk setempat juga akan dilaksanakan dengan menggerakkan semua agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri Kedah akan membekalkan 200 unit Oximeter (alat mengukur kandungan oksigen dalam darah) kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk kegunaan pesakit Covid-19 tahap 1 dan 2 yang dirawat di rumah.

“Keempat, kerajaan akan membuka satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkapasiti besar (PPV mega) di Sungai Petani seberapa segera,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 937 kes positif bagi Kedah hari ini.

Jelasnya, Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja kilang di Sungai Petani akan mula beroperasi di Kilang Minebea pada 26 Julai 2021.

“Satu lagi PIKAS akan dibuka di Kubang Pasu,” katanya.

Selain itu, katanya, Pusat Khas Rawatan Covid (PKRC) di Dewan Wawasan Jitra akan mula beroperasi selepas 8 Ogos 2021 setelah kerja-kerja baik pulih selesai.

Beliau yang juga Pengerusi JKKN Kedah berkata, Pusat Pemberiaan Vaksin (PPV) akan ditambah di negeri ini iaitu di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS yang akan dibuka minggu depan.

“PPV Padang Serai telah mula beroperasi untuk mengendalikan proses vaksinasi bagi Daerah Kulim, membantu PPV sedia ada yang telah beroperasi sebelum ini.

“Proses vaksinasi bergerak (outreach) akan digerakkan di semua daerah yang memerlukan pendekatan tersebut dikendalikan oleh CITF daerah,” katanya.

Bagi langkah seterusnya,
pendaftaran penerima vaksin melalui MySejahtera dan kaedah-kaedah lain akan dipergiatkan lagi selari dengan penerimaan bekalan vaksin daripada MOSTI yang telah meningkat.

Menurutnya, Kedah juga akan menerima bekalan vaksin dalam kapasiti lebih besar pada minggu depan selari dengan peningkatan kes positif agar proses vaksinasi dapat dipercepatkan.

“Lebihan vaksin dari PPV Daerah Langkawi akan dibawa ke tanah besar.

“Kerajaan Negeri akan membiayai operasi khas kuarantin dan rawatan pesakit Covid di Stesen Kuarantin Covid-19 Institut Aminuddin Baki (IAB) Jitra bagi menangani kes-kes khas,” ulasnya bagi langkah ke-12 dan 13.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.