Malaysia bekerjasama dengan IAEA, pastikan sekuriti nuklear global pada Piala Dunia di Qatar

 

KUALA LUMPUR – Malaysia berbangga kerana dapat berkongsi pengalaman positif yang diperoleh melalui penubuhan Pusat Sokongan SekuritiNuklear (NSSC) dengan inisiatif Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam membangunkan keupayaan negara untuk pengesanan dan tindak balas sekuriti nuklear.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba NSSC membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan dalaman melibatkan penggunaan, ujian penerimaan dan penyelenggaraan peralatan pengesanan sinaran bagi menyokong operasi pengesanan dan tindak balas sekuriti nuklear dengan kos efektif yang mampan.

”Hasil daripada pencapaian ini, Malaysia melalui Jabatan Tenaga Atom, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah mengambil langkah ke hadapan dengan menandatangani Partnership Agreement on the Establishment of a Loaner Pool for Radiation Detection Equipment (Loaner Pool) dengan IAEA secara atas talian pada 25 September 2020 ketika berhadapancabaran pandemik COVID-19,”katanya pada Isnin lalu.

Beliau berkata, di bawah inisiatif Loaner Pool, Malaysia menerima penempatan dan menguruskan peralatan pengesanan sinaran bernilai RM3,078,634 yang boleh digunakan untuk aktiviti keselamatan dan sekuriti nuklear dalam negara, termasuk untuk tujuan 1pembangunan keupayaan apabila peralatan tersebut tidak digunakan oleh manamana Negara Anggota IAEA, serta untuk perkongsian amalan terbaik dengan pihak berkepentingan dalam negara dan antarabangsa.

“Pada tahun ini, peralatan yang diuruskan di bawah Loaner Pool Malaysia akan digunakan untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022 di Doha.

“Malaysia berbangga dapat bekerjasama dengan IAEA melalui inisiatif ini dalam memastikan sekuriti nuklear secara global semasa acara besar dunia seumpama ini.

“Peralatan yang serupa juga digunakan sebelum ini dalam melaksanakan langkah sekuriti nuklear semasa acara awam besar di Malaysia seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Sukan Asia Tenggara (SEA), Sukan PARA ASEAN dan Sukan Malaysia (SUKMA),”katanya.

Terdahulu Dr. Adham mengadakan pertemuan bersama lapan pakar daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang turut dihadiri wakil-wakil daripada Jabatan Tenaga Atom, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan Malaysia danPejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Pakar-pakar luar jemputan IAEA daripada Amerika Syarikat, Pakistan, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam ini berada di Malaysia selama 10 hari dari 11-21 Oktober 2022 bagi menghadiri Misi Pakar Perkhidmatan Sekuriti Nuklear Antarabangsa (INSServ), bertujuan membantu Malaysia mengenalpasti ruang untuk penambahbaikan dalam melaksanakan regim kawalan sekuriti nuklear secara berkesan dan lestari yang memfokus kepada kaedah pencegahan dan pengesanan kejadian sekuriti nuklear yang boleh mengancam keselamatan negara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.