Langgar SOP? ini penjelasan Ismail Sabri

Antara gambar ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial

KUALA LUMPUR– Datuk Ismail Sabri Yaakob kesal apabila difitnah tidak mengikut penjarakan sosial ketika melakukan lawatan kerja di Melaka pada Sabtu lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu menafikan tidak mengikut penjarakan sosial, namun menjadi bahan fitnah melalui sudut gambar yang diambil.

“Beberapa gambar menjadi bahan fitnah terhadap saya dan YAB Ketua Menteri Melaka serta YB Speaker DUN Negeri Melaka sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Melaka Sabtu lepas.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami. Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu disertakan bersama gambar yang menunjukkan beliau mematuhi penjarakan sosial.

Gambar yang disertakan Ismail. Gambar bulatan merah menunjukkan penjarakan sosial oleh Ismail

“Namun ini lah gambar sebenarnya. Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” katanya.

Terdahulu, gambar yang seolah-olahnya menunjukkan Ismail melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.