“Jangan salah undi pemimpin, cuba Warisan dulu untuk sepenggal”

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI – Pengerusi Biro perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus menyeru rakyat Kedah dan Malaysia supaya lakukan perubahan.

Beliau berkata, perubahan itu perlu dilakukan dengan mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon parti Warisan yang akan bertanding di kerusi Parlimen.

Menurutnya, suara rakyat di Parlimen menjadi keutamaan Warisan sekaligus memberikan isyarat kepada
pihak yang rakus serta mementingkan diri serta tamak kuasa menyedari bahawa ada Parti Warisan bakal menentang mereka dan membela rakyat.

“Saya merayu demi Negara tercinta dan sebagai rakyat Malaysia negara bertuah ini jangan kita rakyat salah menggunakan kuasa rakyat kali ini.

“Undilah dan bagilah kepercayaan kepada calon Parti Warisan demi warisan negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Warisan enggan menabur janji manis seperti mana parti-parti lain yang akhirnya tidak ditunaikan.

Sebaliknya Mustaffa berkata, Warisan mahu rakyat menilai mereka sendiri selama sepenggal sama ada perjuangan parti itu benar untuk rakyat ataupun tidak.

“Rakyat boleh menguji dan menilai rekod kami selepas PRU-15 ini diadakan.

“Saya mahu katakan kami tidak mahu berjanji bulan dan bintang, tetapi kami optimis dan bertekad menjadi pihak paling dekat dengan rakyat khususnya dalam membawa masalah mereka untuk diselesaikan sama ada melalui Parlimen atau DUN,”katanya.

Mustaffa berkata, pemimpin akan mencorak hala tuju negara, bangsa dan agama.

Justeru katanya, rakyat Malaysia dinasihati tidak melakukan kesalahan dalam memilih pemimpin kerana jika itu dilakukan mereka akan ditipu dan ditindas.

“Pilihlah calon berintergriti, bebas rasuah, bijak, serta dekat dengan rakyat. Pilihlah mereka yang selalu bersuara hal rakyat.

“Mereka inilah pejuang sebenar yang perlu menjadi pembela rakyat Malaysia, bukannya pemimpin terlibat skandal rasuah, bekas banduan, penipu serta tidak bertanggungjawab kepada rakyat sendiri,”katanya.

Mustaffa berkata, semua calon Warisan yang dipilih untuk bertanding menjalani beberapa tapisan.

“Semua calon kita bebas isu rasuah, berkaliber, berpengalaman luas serta sudah terbukti kemampuan mereka ketika berada dalam parti lama, NGO atau mana-mana organisasi kepimpinan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.