Parti lain bertanding, Pas yang diserang

KUALA LUMPUR– Pas sering kali diserang terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) walaupun bukan parti itu yang bertanding.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman (gambar) berkata, situasi itu dapat dilihat pada PRK yang telah berlalu.

“Di Semenyih, UMNO yang bertanding, PAS yang diserang. Di Tanjung Piai, MCA yang bertanding, PAS juga yang diserang,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua itu ialah harga yang perlu dibayar oleh PAS.

“Sekejap dituduh taliban rasis, sekejap dituduh penunggang agama.

“Namun jika diperhatikan, PAS tidak pernah mengubah prinsip, tetapi cermat mengemudi strategi semasa,”katanya.

Syahir berkata, setiap hikmah di sebalik prinsip dan strategi tidak akan dapat difahami sekelip mata.

“Pengalaman mengajar kita, segala hikmah di sebalik prinsip dan strategi, hanya akan tersingkap dan difahami di kemudian hari.

“Benarlah politik ini memerlukan pandangan yang tajam, langkah yang panjang dan jiwa yang berani,”katanya.

Ikon muda Pas itu berkata, PRK hakikatnya hanya pertempuran kecil (battle field) yang tidak mengubah status quo hari ini.

“Namun boleh menjadi medan latihan bagi mengukur sokongan menjelang PRU15 (greater war) tidak lama lagi.

“Justeru marilah kita memerhati dan mengkaji, apakah ‘ukuran dan ukiran’ yang akan terhasil di Tanjung Piai nanti, dilatari kanvas demografi dan acuan muafakat tersendiri,”katanya.

 

Rentas7.com / Foto Sinar Harian

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.