Datuk Mustaffa keluar PUTRA

Mustaffa bersama Bahagian PUTRA tertentu mengadakan perjumpaan bagi mengisytiharkan keluar parti

ALOR SETAR – Datuk Mustaffa Idrus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil keputusan itu selepas tidak lagi ‘sependapat’ dengan PUTRA di pusat.

“Saya dengan ini membuat pengakuan bahawa saya tidak lagi bersama PUTRA.

“Keputusan ini saya lakukan dengan rela hati. Ada beberapa sebab yang membawa kepada keputusan ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Terdahulu, Mustaffa dan Ketua-Ketua Bahagian PUTRA tertentu mengadakan perjumpaan bagi mengisytiharkan keluar parti di Pejabat PUTRA Kedah di Sungai Petani.

Dakwanya, Timbalan Pengerusi PUTRA Kedah, Datuk Fadhil Hanafi dan beberapa ahli jawatankuasa lain mengikut jejak langkahnya melepaskan jawatan.

Beliau berkata, antara yang membawa kepada peletakan jawatan tersebut kerana kesal tidak dihormati.

“Saya juga kesal dengan layanan pihak tertentu terhadap saya selepas membatalkan himpunan aman menuntut kerajaan menarik semula lesen terhadap kilang-kilang arak di Malaysia.

“Pembatalan itu ekoran ada sebab-sebab teknikal tidak dapat dielakkan tetapi ada pihak yang susah nak faham,” katanya.

Mustaffa belum membuat sebarang keputusan tentang parti mana akan disertainya selepas ini.

“Jika ada tawaran yang baik, asas perjuangan yang kuat. Insya Allah parti itulah yang akan saya sertai.

“Buat waktu ini saya mahu berehat sementara daripada dunia politik,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.