“Cikgu tolonglah ambil ayam ini”

BALING-“Hanya ini yang saya mampu bagi, cikgu tolonglah ambil ayam ini,” kata penoreh getah dikenali Pak Long,73, ketika menyerahkan seekor ayam dipelihara kepada seorang wakil rakyat.

Pak Long yang tinggal berseorangan diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris di rumahnya di Kampung Banggol Derom, semalam.

Kesempatan itu digunakannya untuk menyerahkan salah seekor ayam miliknya kepada Abd Nasir yang turut dikenali dengan gelaran Cikgu Nasir dalam kalangan penduduk.

Abd Nasir berkata, beliau turun padang menziarahi tujuh keluarga terjejas banjir di kampung berkenaan.

Menurutnya, menjadi rutinnya sejak tahun lalu untuk melakukan tinjauan di rumah penduduk terjejas termasuk rumah Pak Long yang sering dinaiki air sejak.

“Ini kali ketiga saya menziarahinya. Mungkin kerana terhutang budi, dia meminta saya untuk terima juga pemberiannya”katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Nasir bagaimanapun mengakui terharu dengan keikhlasan warga emas tersebut.

Abd Nasir kanan menyampaikan sumbangan kepada Pak Long

Beliau berkata, hatinya berat untuk menerima pemberian itu kerana bimbang menyusahkan penduduk.

“Pak Long bukanlah hidup senang. Saya difahamkan ada tikanya ayam-ayam itu dijual bagi membeli beras.

“Tetapi demi tidak lukai hatinya, saya terima juga pemberian tersebut,”katanya yang memuji sikap pemurah Pak Long.

Terdahulu, kisah Pak Long dikongsikan Abd Nasir di Facebook.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.