Malaysia terlalu kuat untuk Singapura, menang 4-1 ke atas jiran

Malaysia tidak memberi 'muka' kepada Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022

KUALA LUMPUR – Malaysia terlalu ampuh untuk Singapura dalam perhitungan terakhir kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Skuad negara yang turun dengan misi wajib menang untuk layak ke separuh akhir mudah mengatasi Singapura 4-1.

Tuan rumah yang mengasak bertubi-tubi mendapatkan jaringan pertama hasil tandukan kencang Darren Lok minit ke-35 selepas menerima hantaran Safawi Rasid.

Pemain naturalisasi, Stuart Wilkin menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita dengan sorakan puluhan ribu penyokong apabila rembatan jarak jauh dari luar rembatan menewaskan Hassan Sunny pada minit ke-51.

Safawi Rasid sekali lagi menjadi igauan lawan apabila hantarannya kepada Stuart Wilkin menjadi pencetus gol ketiga skuad negara.

Stuart Wilkin yang melakukan tampanan bijak mengelirukan tiga pertahanan lawan dengan kawalan bola menarik sebelum melepaskan rembatan kencang pada minit ke-54.

Singapura mencemaskan kem negara apabila pemain gantian Faris Ramli menjaringkan gol pada minit ke-85.

Singapura cuba menghidupkan sisa perjuangan tersentak dengan jaringan keempat Malaysia apabila Sergio Aguero tenang menyempurnakan hantaran Lee Tuck untuk keputusan muktamad 4-1.

Malaysia akan bertemu Thailand manakala Indonesia bertemu Vietnam pada aksi separuh akhir.

 

RENTAS7 / FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.