KUALA LUMPUR-Brunei mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Raja-Raja Thailand (King’s Cup) Ke-52 bagi menggantikan Bahrain yang menarik diri pada saat akhir, sekali gus melengkapkan senarai empat pasukan yang bakal berentap dalam kejohanan antarabangsa itu.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 17 November 2026 itu akan diadakan di Wilayah Sisaket, Thailand, bersempena kalendar perlawanan antarabangsa FIFA (FIFA Days).
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Thailand mengesahkan penyertaan Oman, Bahrain dan Tajikistan. Ketiga-tiga pasukan tersebut masing-masing berada di kedudukan ke-81, ke-97 dan ke-100 dunia.
Bagaimanapun, Bahrain mengambil keputusan menarik diri selepas berlaku perubahan dalam barisan kejurulatihan pasukan. Persatuan Bola Sepak Bahrain memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa perubahan itu memerlukan penilaian semula terhadap perancangan latihan dan penyertaan pasukan bagi tempoh November.
Penarikan diri tersebut memaksa pihak penganjur mencari pengganti dalam tempoh yang singkat. Brunei, yang berada di kedudukan ke-196 dunia, akhirnya menerima jemputan untuk menyertai kejohanan berkenaan.
Penyertaan Brunei membuka peluang kepada pasukan itu untuk menguji kemampuan menentang lawan antarabangsa yang mempunyai kedudukan lebih tinggi dalam ranking dunia FIFA.
Sementara itu, majlis undian perlawanan dan sidang media rasmi Piala Raja-Raja Thailand Ke-52 dijadualkan berlangsung pada 19 Oktober 2026, jam 2 petang, di Hotel Gallery, Wilayah Sisaket.
Kejohanan ini dijangka menjadi medan persaingan bagi empat pasukan kebangsaan untuk menguji kekuatan masing-masing dalam tempoh perlawanan antarabangsa November.
RENTAS7 / FOTO: Football Thailand








Leave a Reply