PAMM sokong tindakan Sanusi saman pemimpin Amanah

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) menyokong tindakan Menteri Besar Kedah untuk menfailkan saman fitnah terhadap pemimpin Amanah berhubung isu pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tindakan diambil Muhammad Sanusi Md Noor menunjukkan Menteri Besar itu tiada masa melayan permainan politik.

Menurutnya, Sanusi mengambil jalan paling tepat untuk membersihkan namanya setelah “dibuli” di media sosial oleh pembangkang tanpa bukti yang sahih.

“Tindakan menyaman mereka terlibat merupakan satu mesej penting daripada Sanusi.

“Beliau ingin musuh politiknya tahu bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai berpolitik. Sebaliknya, ini waktu bekerja untuk rakyat Kedah,”katanya hari ini.

Mereka yang akan disaman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan dua lagi individu.

Terdahulu, SADA menjelaskan bahawa pembelian kenderaan tersebut telah diuruskan mengikut prosedur perolehan SADA serta telah diputuskan oleh pihak pengurusan SADA bagi kegunaan rasmi pihak pengurusan syarikat dan tiada kaitan dengan Menteri Besar Kedah.

Sementara itu Mustafa berkata, beliau berharap semua ahli politik berhenti daripada mencapai matlamat peribadi tanpa mengira dosa dan pahala.

“PAMM kesal apabila ahli politik yang ada tidak menunjukkan sikap yang baik untuk rakyat. Ditambah negara ketika ini sedang penularan wabak COVID-19.

“Jikalah ahli politik yang ada memahami rakyat, mereka tidak akan 24 politik sebaliknya membantu rakyat,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.