PAMM tuntut infrastruktur kampung dalam perhatian Bajet Kedah 2022

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) berharap Bajet Kedah 2022 yang akan bermula Ahad hingga Khamis depan turut memberikan penekanan kepada infrastruktur di setiap kampung.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, peruntukan merangkumi kemudahan asas seperti jalan mini tar, titi, perparitan tiang lampu dan termasuk aspek bekalan air bersih perlu ditambah.

“Kita dapati banyak kemudahan asas di setiap kampung dalam Kedah terutamanya di kawasan pendalaman masih di tahap yang kurang memuaskan.

“Namun kita lihat selepas kerajaan lain selepas UMNO tumbang, penyediaan infrastuktur semakin bertambah baik.

“Maka, kita menuntut peruntukan sama ada menyelenggara atau membina baru ditambah lebih banyak berbanding sedia ada dan diumumkan dalam bajet tahun ini,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, isu peruntukan infrastuktur salah satu perkara yang amat ditunggu-tungu oleh rakyat Kedah khususnya yang tinggal di kampung.

“PAMM berharap kerajaan negeri mengambil kira saranan ini demi kebaikan negeri Kedah Darul Aman.

“Selain projek-projek mega dan perindustrian, kebajikan orang kampung perlu dipastikan berada di tahap yang baik,”katanya.

Beliau berkata, PAMM memuji usaha Kedah mencari solusi secara keseluruhan kepada masalah bekalan air bersih yang dijangka selesai pada tahun 2023.

“Ia satu perkembangan baik apabila kerajaan negeri akan membina loji rawatan air di negeri ini bagi mengatasi isu bekalan air bersih.

“Cumanya PAMM berharap kerajaan negeri turut mempunyai perancangan jangka pendek mengatasi isu air terutamanya apabila datang musim perayaan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.