Mahathir sokong Shafie Apdal calon PM, Anwar Timbalan PM 1

Shafie Apdal

KUALA LUMPUR-Cadangan mencalonkan Presiden Parti Warisan (Warisan) Sabah Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri baru akan dibincangkan Amanah dan DAP di peringkat kepimpinan kedua-dua parti.

Dalam kenyataan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, perkara itu seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk diputuskan bersama.

“Amanah dan DAP mengambil maklum kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pertemuan tidak rasmi (informal) dua hari yang lalu dan cadangan untuk menamakan Dato Seri Shafie Apdal sebagai calon baharu Perdana Menteri.

“Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen baharu untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan PH dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh cadangan melantik Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai Perdana Menteri.

Sokongan itu dinyatakan melalui kenyataan video di Facebook rasminya, hari ini.

“Saya menyokong penuh cadangan ini, yang penting kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu pendirian kita.

“Kami juga bersetuju mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.