Keindahan akhlak Nabi Muhammad S.A.W tawan hati lelaki Cina

PERMATANG PAUH- Keindahan akhlak Nabi Muhammad S.A.W menjentik hati seorang lelaki Cina untuk memeluk Islam.

Dengan sekali lafaz syahadah, Soi Chia,24, (nama samaran) sah memeluk Islam di Interactive Dakwah & Tarbiyah, di Permatang Pauh semalam.

Menceritakan bagaimana Islam menawan hatinya, Chia berkata, hatinya terpaut ketika dia masih di bangku sekolah menengah.

“Semenjak umur 16 tahun, apabila saya belajar di sekolah menengah ada belajar tentang sejarah Nabi Muhammad SAW.

“Sejurus itu ada keinginan nak tahu tentang Nabi Muhammad SAW. Pada masa itu saya tidak dapat mencari sumber atau jawapan untuk saya ketahui lebih lanjut,”katanya di sini, semalam.

Katanya, tekad mempelajari ilmu agama semakin tinggi apabila dia tertonton video dakwah di YouTube.

“Sehinggalah tahun lepas apabila bulan Ramadan saya ternampak video youtube Ustaz Ebit Lew, Bro Lim Jooi Soon, Bro Ben Ooi dan Sheikh Hussein Yee berkenaan kisah hijrah dan dakwah.

“Dari saat itu hati saya ingin belajar tentang Islam,”katanya.

Melalui penjelasan di YouTube itu, dia terus berusaha mencari jawapan berkaitan Islam.

“Saya mencari jawapan menerusi youtube sehinggalah saya nampak video yang mengajar cara solat.

“Apabila saya cuba mengikuti solat yang diajar oleh video youtube, hati saya rasa semacam, rasa tenang,”katanya.

Tonton video Chia memeluk Islam di atas:

Tambahnya, amalan melaksanakan solat Subuh juga memudahkan dirinya untuk bangun pagi.

Chia turut mengakui telah mempraktikkan diri untuk bersolat selama setahun sebelum membuat keputusan memeluk Islam.

“Dahulu saya seorang yang kuat tidur, setelah mengamalkan solat, saya menjadi seorang yang senang bangun apabila masuk waktu subuh.

“Setelah setahun mengamalkan solat dan berjumpa dengan Bro Ben Ooi dan Danial Ban daripada Interactive Dakwah & Tarbiyah selama beberapa bulan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam, hari ini pada pukul 1.00 petang saya sudah bersedia untuk kembali kepada fitrah,”katanya.

Kata Chia lagi, hatinya amat tenang setelah melafaz dua kalimah syahadah.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.