Sungai bertukar warna putih, tercemar angkara kilang di Selangor

Pencemaran di Sungai Balak, air sungai kelihatan berwarna putih

BALAKONG– Pencemaran minyak di Sungai Balak, berhampiran Kampung Baru Balakong berpunca daripada sebuah kilang berasaskan makanan.

Ketua Pengarah Alam sekitar Malaysia, Norlin Jaafar berkata, punca pencemaran itu dikenal pasti Jabatan Alam sekitar (JAS) Selangor selepas menerima aduan.

Menurutnya, JAS menemui punca luahan air berwarna putih dan di tepi-tepinya
digenangi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan ke Sungai Balak.

“Semasa pegawai JAS memasuki kilang,
didapati pelepasan air berwarna putih sedang berlaku melalui saluran paip bawah tanah dan menuju ke Sungai Balak.

“Dalam pada itu, siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam didapati mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pegawai JAS sedang melakukan pemeriksaan di kawasan pencemaran

Beliau berkata, JAS Negeri Selangor telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.

“Pihak kilang juga diarahkan untuk
melakukan kerja-kerja penutupan (plug) saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar.

“Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar dikeluarkan bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi,”katanya.

Norlin berkata, kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam
Sekeliling, 1974.

“Manakala sebanyak tiga (3) sampel diambil dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat.

“Operasi ini telah dijalankan dengan mematuhi semua Prosedur Tetap Operasi (SOP), arahan dan langkah-langkah keselamatan serta kesihatan yang dikeluarkan masing-masing oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAS,”katanya.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan usaha kerajaan ke arah membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara berjaya dilaksanakan.

“Saya memberi amaran keras kepada pihak industri supaya bertanggungjawab menguruskan sisa efluen mengikut undang-undang yang telah ditetapkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.