Jangan tertipu kononnya etnik Uighur tidak diseksa- Mufti Perlis

ARAU– Umat Islam diingatkan supaya tidak termakan dengan propaganda kononnya etnik Uighur di China tidak diseksa.

Peringatan itu diberikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin selepas menerima kunjungan pimpinan masyarakat Uighur di kediamannya.

“Harap kita janganlah tertipu dengan propaganda kononnya China hanya memberikan kemahiran hidup dan masyarakat Uighur tidak diseksa.

“Mereka yang sanggup membuat cerita dusta seperti itu benar-benar mengkhianati masyarakat muslim di sana. Di manakah nilai iman atau sekurang-kurangnya kemanusiaan dalam diri?,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Asri menerima kunjungan wakil umat Islam Uighur iaitu al-Syeikh Abdul Waris Abdul Khaliq dan Nur Muhammad.

Asri menjelaskan, dalam pertemuan itu beliau diberi penjelasan dan gambaran sebenar tentang kezaliman dan penindasan dihadapi etnik berkenaan.

Asri menerima penyerahan bendera daripada dua wakil masyarakat Islam Uighur.

Beliau menegaskan, berjuta- juta umat Islam Uighur dalam tahanan menerima seksaan.

“Dirogol, diseksa, disekat zuriat, dirampas harta, dihalang beragama, dipaksa wanita bersuamikan lelaki cina yang bukan muslim dan pelbagai lagi kezaliman yang sangat menakutkan. Nasib mereka sangat menyayatkan hati,”katanya.

Pada 28 Jun tahun lalu, media melaporkan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan penindasan umat Islam di China sebagai berita palsu.

Pemimpin Amanah itu bagaimanapun membidas semula portal tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan membuat laporan “sangat tidak tepat”.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menawarkan 10 kerusi pengajian kepada etnik Uighur dengan pembiayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurutnya, perkara itu mendapat perkenan Yang DiPertua MAIPs iaitu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Jumlahnya akan ditambah dari masa ke semasa. Harap zakat Umat Islam di MAIPs dapat membantu mereka. Mereka begitu gembira sekali dengan berita itu.

Pihak MAIPs juga merancang untuk mengadakan ceramah khas “Air Mata Uighur” di Masjid Alwi pada Khamis akan datang selepas solat Maghrib.

“Kedua tokoh Uighur ini in sha Allah akan berucap,”katanya.

Katanya, Umat Islam di seluruh Malaysia dijemput hadir bagi menunjukkan nilai ukhuwwah Islamiyyah terhadap mereka.

Rentas7.com/ Foto Fb Dr Maza.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.