Gunung Pulai di Baling bakal jadi tamadun terawal Asia?

(kemaskini)

BALING-Catatan penempatan tertua di negara ini mungkin berubah susulan penemuan lebih 100 artifak prasejarah di beberapa buah gua di Gunung Pulai.

Penemuan ini menimbulkan persoalan pelbagai pihak apakah akan ada tamadun tertua terbaru ditemui?

Artifak berkenaan ditemui di beberapa lokasi antaranya Gua Tembus, Gua Akar dan Gua Kelambu ketika Jabatan Warisan Negara (JWN) menjalankan eksplorasi pada April hingga Oktober tahun lalu.

Pesuruhjaya JWN, Mesran Mohd Yusof berkata, kesemua artifak seperti pecahan tembikar, peralatan batu dan kulit siput yang ditemui di kawasan tersebut dianggarkan berusia 17,000 tahun (Zaman Paleolitik).

Menurutnya, eksplorasi berkenaan dilakukan bagi tujuan pendokumentasian dan inventori tapak supaya dapat menemui data arkeologi terkini.

“Jika artifak itu benar-benar berusia 17,000 tahun (15,000 sebelum Masihi), ia bermakna penempatan di Gunung Pulai adalah tertua di Kedah dan lebih tua berbanding Tapak Arkeologi Sungai Batu Merbok,”katanya.

Antara artifak ditemui JWN di Gunung Pulai

Beliau yang juga Ketua Pengarah JWN berkata demikian pada sidang media di kaki Gunung Pulai, hari ini.

Tambahnya, usia artifak berkenaan akan diketahui secara tepat apabila sebahagian artifak yang telah dihantar ke makmal di Singapura selesai dianalisa.

Katanya lagi, penemuan amat penting terhadap data arkeologi negara itu menjadi asas untuk mengenali asal-usul masyarakat lampau sekaligus mempopularkan kawasan Gunung Pulai sebagai pusat pelancongan.

Sidang media yang diadakan hari ini

Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Intitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut terlibat dalam ekskavasi dan penyelidikan di tapak berkenaan.

Terdahulu, JWN yang mendapat kerjasama Persatuan Penduduk Kampung Che Wan Jusoh berkampung tiga hari di kawasan berkenaan bagi mengenalpasti tapak ekskavasi terbaru.

Usaha penggalian akan dibuat pihak berkenaan pada bulan depan.

Untuk rekod, tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok berlangsung seawal 535 sebelum Masihi hingga kurun ke-15.

Ia telah diiktiraf oleh pengkaji dalam dan luar negara sebagai tamadun terawal di Asia Tenggara setakat ini.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.