Jangan adakan PRU-15 tahun ini

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menuntut PRU-15 tidak diadakan tahun ini walaupun PRN Johor akan dilaksanakan pada 15 Mac depan.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, PRU-15 biarlah diadakan selepas genap lima tahun dari tarikh PRU-14 yang dijalankan pada 9 Mei 2018.

“Kita masih mempunyai lebih kurang 15 bulan sebelum genap tarikh PRU-15. Walaupun secara tempoh matang, PRU sudah boleh dilaksanakan tapi PAMM menuntut ia tidak dilaksanakan dalam tahun ini.

“Kita lihat ketidakstabilan politik masih belum dapat diselesaikan sekiranya PRU diadakan. Ini kerana kita lihat tiada konsensus kuat dalam semua parti,”katanya.

Beliau berkata, semua parti sewajarnya menggunakan baki sebelum tarikh PRU-15 sebenar untuk mencari titik kebersamaan kerana ia jawapan kepada pergolakan politik yang sedang berlaku.

“Jika gabungan semua parti yang ada masih lagi berpecah dan tiada konsensus, kerajaan yang stabil masih belum dapat dibentuk walaupun PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

“Perkara lompat parti, tukar kerajaan dan tukar Perdana Menteri baru akan terus berulang. Semua ini kerja bodoh yang menyusah dan menzalimi rakyat,”katanya.

Sehubungan itu Mustaffa menuntut masa yang berbaki setahun lebih sebelum tarikh PRU sebenar dimanfaatkan semua pemimpin politik untuk mencari formular pembentukan kepada kerajaan lebih kuat.

“PAMM simpati dengan nasib rakyat negara ini yang diheret sekali dengan pergolakan berlaku.

“Kekacauan politik menjejaskan ekonomi di peringkat domestik dan luar. Peluang pekerjaan jadi terhad, mereka yang miskan akan terus miskin.

“Rakyat bawahan terutamanya golongan B-40 akan terus ditekan dengan masalah kewangan. Orang politik akan terus berebut kuasa kerana perut masing-masing,”katanya.

Mustaffa berkata, di pihak rakyat pula, medan PRU perlu dijadikan untuk membalas dendam menyingkirkan pemimpin politik yang korupsi, bodoh dan menyusahkan rakyat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.