PAMM bersama kerajaan negeri, desak pemimpin MIC, DAP henti bohong

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– “Jangan tegakkan benang yang basah!

Itu amaran dilontarkan Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) kepada pemimpin MIC dan DAP yang masih membantah perobohan kuil yang dibuat mengikut undang-undang.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tiada sebab mana-mana pihak cuba bermain sentimen perkauman sedangkan kuil dibina jelas tidak mengikut kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau menuntut pihak-pihak berkenaan tidak menangguk di air yang keruh dalam isu ini.

“Walaupun mereka sedar kuil berkenaan dibina secara tidak sah tetapi masih mahu membantah. Cukuplah, jangan bersandiwara!,”katanya hari ini.

Beliau memberikan contoh kuil yang dibina di atas tanah digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah.

“Begitu juga dengan perobohan kuil Sri Madurai Veeran di jalan stesen Alor Setar pada Julai lalu. Ia dibina bukan daripada kebenaran pihak berkuasa”katanya.

Mustaffa berkata, beliau menyokong sindiran Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan pemimpin MIC dan DAP seperti mabuk berlebihan walaupun hanya minum sebotol.

“Memang benar perumpamaan dikatakan Menteri Besar. Mereka ibarat buat-buat tidak tahu walaupun tahu mempertahankan sesuatu yang tidak berfakta.

“Surau dan masjid nak dibina pun memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri, apa hal yang kamu susah ikut undang-undang?,”katanya.

Sanusi pada 5 Disember lalu menyindir pemimpin MIC dan DAP dengan kenyataan “ahli politik kanan seperti mereka janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol,”.

Menteri Besar juga menyoal mengapa pemimpin MIC dan DAP tidak bersuara tentang gelanggang silat yang dirobohkan bawah akta sama termasuk perobohan gerai, parkir kereta, store, pagar, dapur dan bangsal di lokasi lain.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, pihaknya menuntut pihak polis menyiasat kenyataan pemimpin yang memberikan maklumat mengelirukan.

“Kita lihat pemimpin-pemimpin termasuk kumpulan yang membawa nama hak asasi ini membawa kenyataan palsu di media.

“Antaranya seperti mendakwa kuil di Taman Bersatu itu sudah berusia 30 tahun, 50 atau 100 tahun.

“Sedangkan seperti disebut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah menjelaskan pihak berkuasa mempunyai rekod kuil berkenaan hanya dibina beberapa tahun kebelakangan ini sahaja,”katanya.

Beliau berkata, PAMM melihat kenyataan mengelirukan itu boleh memberikan impak negatif.

“Justeru itu, PAMM menuntut polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan bohong.

“PAMM akan membuat laporan polis berhubung isu ini,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAMM memuji langkah kerajaan negeri yang bertindak mengikut prosedur dan undang-undang dalam merobohkan kuil.

“Tiada isu pun, yang jadikan isu hanyalah orang bodoh. Tapi saya percaya majoriti masyarakat India akan menilai isu ini dalam sudut pandang yang berbeza daripada pemimpin MIC dan DAP,”katanya.

Pada Selasa, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu Kuala Kedah bersama sebuah dewan solat dan lima kawasan parkir.

Kawasan yang digazetkan sebagai kawasan lapang itu akan dibangunkan sebuah gelanggang futsal.

Antara yang lantang bersuara adalah Timbalan Presiden MIC, M Saravanan yang jugak Menteri Sumber Manusia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.