Aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau dalam Tawar ditangguh

KUALA KETIL– Enam buah masjid dan 28 surau dalam Mukim Tawar diarahkan menangguhkan aktiviti keagamaan.

Arahan melibatkan 34 buah surau termasuk masjid itu berkuatkuasa hari ini.

Menurut surat dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Baling, penangguhan aktiviti keagamaan itu dibuat atas nasihat jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PBD).

Surat itu antaranya memaklumkan semua surau dalam mukim Tawar diarahkan tutup manakala solat Jumaat di masjid terlibat digantikan dengan solat Zohor.

Aktiviti keagamaan seperti majlis ilmu, kelas pengajian dan seumpamanya tidak dibenarkan.

Turut dilarang di masjid dan surau ialah aktiviti akad nikah.

Solat jenazah juga tidak dibenarkan di surau dan masjid manakala pengurusan jenazah diarahkan dilaksankan di rumah dengan hanya melibatkan pegawai masjid dan ahli keluarga terdekat.

Laungan azan “Hayya Ala Solah” digantikan dengan “Sollu fi buyutikum”.

Solat Jumaat di masjid hanya dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang sahaja melibatkan imam, pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid secara bergilir-gilir dalam satu waktu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Anak kariah juga dilarang solat Jumaat atau fardu di surau atau masjid lain.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.