Hormati sistem kehakiman, patuh titah sultan

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Sistem kehakiman negara ini perlu dihormati sebagaimana  titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Pendokong Parti Warisan Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah telah bertitah supaya segala keraguan terhadap kewibawaan hakim dan mahkamah dielakkan.

“Titah Sultan Nazrin disiarkan media pada 29 Ogos lalu mempunyai banyak hikmah yang perlu kita fikir khususnya oleh kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan khususnya perlu menggandakan usaha untuk jadikan mahkamah kita lebih dipandang tinggi ,”katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu Mustaffa berkata, ramai ahli politik khususnya daripada UMNO mempertikaikan keputusan mahkamah dan hakim selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhkan hukuman.

“Mereka merendahkan martabat hakim dan mahkamah dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat secara terbuka. Tindakan mereka amat memalukan negara.

“Justeru, saya menuntut supaya semua pihak di Malaysia patuh dan taat kepada titah Sultan Perak yang mahu kewibawaan hakim dan institusi kehakiman dielakkan.

Mustaffa berkata, beliau berharap politik Malaysia menuju keadilan selepas apa yang berlaku terhadap Najib.

Datuk Mustaffa Idrus

“Saya sangat berharap politik Malaysia keluar ke arah politik bersih dan sihat.

“Kesianlah kepada rakyat, mereka mengundi anda, percaya akan anda tetapi semua itu dikhianati dengan sikap pecah amanah.

“Kepada semua pemimpin politik termasuk kepada mereka yang bukan Islam, jadikan hukuman diterima Datuk Najib sebagai pengajaran kepada anda semua.

“Mungkin giliran dipenjarakan adalah anda pula selepas ini. Hati-hati. Rakyat dan mahkamah sedang memerhati,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.