Tak mengundi, makan rasuah bentuk pengkhianatan kepada kemerdekaan negara

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Sambutan kemerdekaan tanah air tidak memberikan makna jika generasi muda termasuk ahli politik hari ini tidak menghargai perjuangan orang-orang terdahulu.

Pendokong Parti Warisan Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kemerdekaan bukan untuk disambut semata-mata, tetapi lebih penting dihargai.

“Ulama, para pejuang dan nenek moyang terdahulu bersusah payah memerdekakan negara ini dengan keringat, tenaga, masa, dan nyawa. Mereka lakukan untuk melihat generasi hari ini tidak merempat di bumi sendiri.

“Tetapi sayang, generasi muda hari ini termasuk ahli politik kebanyakannya tidak menghargai nikmat kemerdekaan,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, contoh dapat dilihat apabila masih ramai anak muda tidak mendaftar sebagai pengundi sedangkan undian mereka penentu masa depan negara.

“Amat menakutkan apabila ramai anak muda selesa untuk tidak mahu mengundi dengan alasan bosan dengan politik.

“Apakah mereka tidak sedar jika yang menaiki pucuk kepimpinan negara ini terdiri daripada bangsa lain? Waktu itu semuanya sudah terlambat,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah kesal apabila ramai ahli politik menggunakan platform berpolitik untuk hidup mewah dan bukannya untuk perjuangan.

“Pemimpin Melayu Islam sepatutnya bekerja untuk agama dan bangsa, tetapi mereka pula yang mengambil kesempatan untuk menjarah kekayaan negara hingga akhirnya disabit kes mahkamah dan dipenjarakan.

“Inilah satu pengkhianatan kepada bangsa dan negara. Pemimpin yang korup khususnya dalam kalangan Melayu Islam adalah pemusnah bangsa dan negara sendiri.

“Walaupun bukan semua melakukan perkara ini, tetapi ia memberikan imej tidak elok kepada pemimpin yang tidak bersangkut paut.

Justeru katanya, anak muda dan pemimpin parti politik berbangsa Melayu perlu muhasabah diri supaya tidak meletakkan negara ini ke dalam lembah kebinasaan.

“Jika anak muda beri alasan muak mengundi kerana perangai pemimpin parti politik, mereka sebenarnya silap.

“Bukan semua parti dan pemimpin yang korup. Mereka perlu muhasabah akan pentingnya mengundi pemimpin Melayu dan Islam.

“Pemimpin politik yang bekerja sambil lewa, makan rasuah dan skandal, kamu juga perlu muhasabah diri dan bertaubat. Politik medan perjuangan buka medan kesenangan”katanya yang menyifatkan tidak mengundi dan memakan rasuah sebagai salah satu pengkhianatan kepada kemerdekaan negara.

Mustaffa berkata, ekonomi negara ini juga perlu ‘dimerdekakan’ supaya bangsa Melayu tidak merempat di bumi sendiri.

“Lihatlah ekonomi kita, siapa yang pegang sekarang? Hari ini pun sudah ada Melayu yang merempat di tempat sendiri.

“Dulu kita buat Buy Muslim First (BMF), tetapi sayang semua tu hangat-hangat tahi ayam.

“Merdekakan ekonomi umat Islam, lawan ekonomi bangsa lain. Baru kita boleh hidup senang,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.