Harapan PUTRA untuk Kabinet baru kerajaan

Mustafa mahu DAP diharamkan

ALOR SETAR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah berharap kerajaan baharu yang akan dibentuk tidak melantik kluster mahkamah menjawat sebarang jawatan.

Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, lantikan kluster mahkamah bakal merencatkan susun atur kerajaan mengatasi kemelut ekonomi dan COVID-19.

“Kami PUTRA Kedah berharap kerajaan baharu kelak tidak melantik mana-mana individu daripada kluster mahkamah untuk sebarang jawatan terutamanya dalam Kabinet kerajaan.

“Seandainya ia berlaku, masa depan Malaysia tidak akan menuju lebih baik. Sebaliknya gelap, samar dan akan menjadikan Malaysia negara mundur ke belakang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu segera keluar daripada penularan wabak COVID-19 menerusi genjatan politik oleh semua parti.

“Sudah hampir dua tahun kita diheret dengan masalah COVID-19. Ramai hilang pekerjaan, pelabur hilang keyakinan dan kemiskinan meluas.

“PUTRA berharap, semua parti dalam kerajaan baru dan pembangkang hentikan perebutan kuasa yang mengancam kesejahteraan negara, sebaliknya bekerjasama dengan baik membantu Malaysia keluar daripada masalah sedang dihadapi,”katanya.

Berdasarkan situasi terkini, Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.