Kedah isytihar Yan dan Kuala Muda Kawasan Bencana Tahap 1

Keadaan di atas Gunung Jerai

ALOR SETAR-Kerajaan Negeri Kedah mengisytiharkan Daerah Yan dan Kuala Muda diklasifikasikan sebagai Kawasan Bencana Tahap 1.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

“Sehubungan itu, semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah yang perlu bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan yang mencukupi bawah penyelarasan MKN.

“Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam berikutan kejadian banjir kilat dan serangan ‘kepala air’ di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai, petang semalam yang telah meragut beberapa korban dan menjejaskan kehidupan penduduk kawasan itu.

“Saya bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih yang amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan mlnegeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman COVID-19 masih berlegar di persekitaran kita,”katanya.

RENTAS7

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.